Home » » Cadang pelajaran seksual untuk murid tadika

Cadang pelajaran seksual untuk murid tadika

Written By canang on Isnin, 5 Disember 2016 | 12/05/2016 07:04:00 PTG

KUALA LUMPUR: Puteri UMNO mencadangkan Kementerian Pendidikan supaya memperkenalkan pelajaran seksual kepada murid seawal di peringkat prasekolah dan tadika.
Wakilnya, Norrulhuda Marsidin, berkata ia berikutan kes membabitkan pedofilia dan 'grooming sex' atau asuhan seks ketika ini semakin membimbangkan.
Beliau berkata, statistik menunjukkan hampir 80 peratus kes rogol yang dilaporkan di Malaysia membabitkan kenalan internet dengan majoriti mangsa adalah di bawah usia 18 tahun.
Katanya, masalah itu jelas bukan saja menyumbang kepada gejala sosial seperti rogol tetapi masalah lain seperti kes lari dari rumah, pembuangan bayi dan peningkatan kelahiran anak luar nikah.
"Kita juga sering berasakan mangsa seksual pedofilia dan asuhan seks ini akan berasa trauma atau menderita sedangkan ada mangsa yang tidak menyedari mereka adalah mangsa.
"Mangsa merasakan perbuatan yang dilakukan itu tidak salah selain menyeronokkan. Akibatnya akan ada kitaran pedofilia, ketagihan seks dan kesan jangka panjang yang terjadi dalam senyap.
"Sehubungan itu, Puteri menggesa Kementerian Pendidikan supaya segera mengkaji dan melaksanakan pendidikan seksual seawal prasekolah dan tadika bagi mengatasi masalah ini daripada terus berleluasa," katanya.
Beliau berkata demikian membahaskan usul agama dan pendidikan pada Perhimpunan Agung UMNO 2016 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini, hari ini.
Norrulhuda berkata, kurikulum pembelajaran pendidikan seks juga perlu disesuaikan mengikut perkembangan awal kanak-kanak hingga remaja serta trend teknologi semasa.
"Ketika ini, pendidikan seks tidak diajar secara serius dan perlu dikaji semula supaya memberi kesedaran kepada pelajar dan generasi akan datang supaya berwaspada dengan perkara yang terjadi kepada diri mereka sendiri," katanya.
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger