Home » » Sejak zaman sekolah, kartun Zunar dianggap ‘bahaya’

Sejak zaman sekolah, kartun Zunar dianggap ‘bahaya’

Written By canang on Rabu, 11 Januari 2017 | 1/11/2017 07:35:00 PTG


Pernah sekali kartunnya diharamkan pihak sekolah kerana mengkritik guru. Hari ini, Zunarmasih tidak lari daripada kontroversi.
KUALA LUMPUR: Kecenderungan terhadap seni dan komik sejak kecil membawa Zunar, atau Zulkiflee Anwar Ulhaque, ke arah jalan berliku.
Kartunis politik yang kerap menimbulkan ketidakselesaan di pihak kerajaan ini menceritakan kepada FMT bagaimana beliau mula berminat dengan kerjayanya, bermula daripada zaman kanak-kanaknya di sebuah kampung kecil di Kedah.
Ketika itu, untuk mendapatkan bahan kartun, dia terpaksa turun ke pekan. Suratkhabar dan majalah pula mahal.
Lalu lelaki yang satu hari nanti bakal menerima pengiktirafan antarabangsa buat hasil karya kartunnya mengambil jalan radikal.
“Saya pernah mencuri majalah Times kerana ia mempunyai 2 halaman kartun politik, dan saya tidak mampu untuk membelinya,” katanya ketika ditemui FMT di pejabatnya.
Ketika di sekolah, minatnya melakar kartun terlalu mendalam, sehingga dirotan kerana melakar kartun dalam buku latihan dan di dinding sekolah.
“Dan pada satu ketika, saya tidak mempunyai dakwat dan tidak mampu untuk membelinya oleh itu saya menggunakan iodin. Dahulu, iodin boleh didapatkan dari klinik bergerak. Demikianlah perbuatan yang sanggup saya lakukan demi berkarya kartun. Inilah kecintaan saya.”
Kini berusia 54 tahun, Zunar memulakan kerjayanya pada usia muda 12 tahun, melukis untuk majalah kanak-kanak.
Lain pula harapan ibu bapanya.
“Arwah ibu bapa saya mengatakan masa depan sebagai kartunis tidaklah cerah. Dan, sekiranya saya menceburi bidang sains, saya boleh berkerjaya sama ada sebagai doktor ataupun saintis. Inilah nasihat yang selalu diberi oleh ibu bapa zaman dahulu.”
Namun, Zunar tidak menyesal sekiranya menjadi pelajar aliran sains.
“Saya boleh meletakkan teori Darwin, dan teori fizik dalam kartun saya. Anda boleh belajar seni di kemudian hari.”
Zunar menjadi kartunis profesional pada tahun 1985.
Sebelum itu, dia bekerja sebagai juruteknik makmal di hospital kerajaan.
Ia pekerjaan dengan masa depan yang stabil dan selamat, tetapi jiwanya tetap ingin melakarkan kartun.
Zunar berpakaian kot makmal di siang hari, dan melakar komik pada waktu malam, menyumbang kepada majalah komik popular Gila-Gila.
Namun, beliau sedar seni dan logik tidak selalunya seiring, dan menanggap semakin hilang kemahiran matematik kerana kerap menggunakan kemahiran seninya.
“Saya tidak lagi dapat mengira dengan betul dan ini adalah berbahaya kepada pesakit. Jadi saya terpaksa membuat keputusan tentang hala tuju saya kerana saya tahu saya tidak boleh mempunyai kedua-duanya.”
Setakat ini, sudah 5 karya kartun yang diterbitkan Zunar diharamkan.
Zunar juga tidak asing dengan pelbagai tindakan terhadapnya: keluar masuk lokap, rampasan buku, dan sekatan perjalanan.
Sokongan baginya dizahirkan oleh kumpulan kartunis antarabangsa, dan pada 2015, beliau dipilih badan hak asasi global, Amnesty International, untuk kempen Write for Rights 2015 bagi memperjuangkan kebebasan bersuara.
Kritik guru
Pada usia semuda 17 tahun, Zunar sudah berdepan dengan pengharaman karyanya.
Ketika itu, beliau merupakan pengarang dan kartunis untuk majalah sekolah.
“Ia diharamkan kerana saya mengkritik seorang guru,” katanya.
Sedekad kemudian, Zunar mula berjinak dengan kartun bertemakan politik, meluahkan rasa tidak puas hati terhadap dasar kerajaan.
“Itulah permulaan segalanya. Saya menggunakan kartun sebagai ekspresi diri.
Saya tahu sesetengah orang tidak akan gembira dengan kartun saya, tetapi tidak sehingga membawa kepada penangkapan saya.”
Bagi Zunar, terdapat perbezaan besar antara karya kartun dan karya kartun politik.
Kartun politik mengutarakan politik, tetapi dengan menampilkan tokoh politik tertentu. Ia menarik perhatian ramai, namun sering meninggalkan mereka tertanya-tanya apakah selanjutnya, jelas Zunar.
“Untuk impak yang lebih, anda perlu menekankan mesej dengan lebih mendalam.
“Oleh itu, saya cuba memahami apa yang diingini rakyat, apa yang membuatkan mereka bangkit marah, dan apa yang menyentuh hati mereka. Ini akan memprovokasi mereka, dan membuat mereka bertindak balas.”
Bukan aktivis tapi kreatif
Zunar tidak menganggap dirinya aktivis walaupun karya kartun beliau yang menyeru terhadap reformasi institusi.
Sebaliknya, beliau menjenamakan diri dalam termanya sendiri, “ahli kreatif”.
Bagi Zunar, seseorang perlu mempunyai pendirian jelas, dan tiada istilah neutral dalam kamusnya.
“Jika saya berdiri di perhentian bas, dengan seorang wanita di sebelah saya dan tiba-tiba seorang mat rempit datang dan merampas beg tangan mangsa, adakah mungkin saya duduk diam dan bersikap ‘berkecuali’?” soalnya.
Walaupun politik menjadi tema beliau, Zunar tidak pernah bercita-cita menjadi ahli politik.
“Saya tidak mahu menyertai politik. Saya bukan seorang ahli politik. Biar saya melakar kartun kerana itulah apa yang saya tahu. Ramai orang boleh menjadi ahli politik, oleh itu biarkanlah mereka yang cenderung ke arah ini menjadi ahli politik.”
Bagaimanapun, beliau sedar kartun tidak mencukupi untuk mencetus reformasi.
“Tetapi saya masih mencari formula yang tepat untuk membuat kartun sebagai penggegar (untuk membawa pembaharuan).”SUMBER
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger