Home » » Kes Scorpene: Mat Sabu setuju jumpa peguam Perancis

Kes Scorpene: Mat Sabu setuju jumpa peguam Perancis

Written By canang on Selasa, 29 Mei 2018 | 5/29/2018 12:28:00 PG

 Menteri Pertahanan Mohamad Sabu bersetuju untuk bertemu dengan peguam Perancis yang mewakili NGO hak asasi manusia, Suaram untuk memfailkan saman di negara itu mengenai penglibatan Malaysia dalam urus niaga pembelian dua kapal selam Scorpene pada 2001
Mengulas soalan wartawan Malaysiakini jika beliau bersedia diberi taklimat oleh peguam William Bourdon dan Apoline Cagnat berhubung kes yang sedang didengar di mahkamah di Paris, Mohamad menjawab, "(sedia) pada bila-bila masa."
"Mereka perlu menulis kepada saya secara rasmi mengenai perkara itu supaya kami boleh menentukan tarikh kunjungan mereka ke Malaysia," Mohamad memberitahu Malaysiakini, ketika ditemui di majlis berbuka puasa anjuran menteri itu di kampung halamannya di Kampung Guar Petai, Tasek Gelugor, Pulau Pinang semalam.
Ditanya jika larangan perjalanan jabatan imigresen terhadap Bourdon yang dikenakan pada 2011 akan ditarik balik bagi membolehkan peguam berkenaan masuk ke Malaysia tanpa sekatan bagi menjalankan tugas mereka, Mohamad memberikan jawapan yang positif"Ya, boleh jadi, seperti orang lain yang pernah dikenakan sekatan perjalanan yang kini dibenarkan masuk ke negara ini seperti editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown," katanya.
Mohamad berkata usaha kini sedang giat dijalankan untuk membentuk pasukan atau jawatankuasa bagi mengkaji pelbagai kontrak yang ditandatangani dengan Kementerian Pertahanan, termasuk perjanjian membeli kapal selam Scorpene, yang menjadi kes mahkamah di Paris.
Kes itu, yang difailkan Suaram pada tahun 2011, melibatkan dakwaan pembayaran sogokan berjumlah berjuta-juta ringgit kepada pegawai Malaysia.
"Saya telah berbincang hal itu dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan kami sedang merancang membentuk jawatankuasa untuk mengkaji kontrak-kontrak ini," kata Mohamad.
"Kami akan mengendalikan perkara berkenaan secara profesional dan seperti yang saya katakan sebelum ini, tindakan kami akan berdasarkan kepada fakta dan bukan khabar angin," katanya.
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger